Khamis, Julai 31, 2008

Yahudi zalimi rakyat Palestin jarang dihukum

BAITULMAQDIS: Cuma enam peratus daripada siasatan mengenai jenayah yang dilakukan tentera Israel terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat menghasilkan pendakwaan.
Laporan aktivis hak Israel itu dikeluarkan ketika pasukan bersenjata berjanji untuk menyiasat kematian budak lelaki Palestin berusia 12 tahun yang ditembak tentera rejim Zionis ketika mengadakan tunjuk perasaan kelmarin menentang tembok pemisah Israel di Tebing Barat.
Daripada keseluruhan 1,246 siasatan oleh polis tentera mengenai jenayah yang disyaki dilakukan ke atas penduduk Palestin atau harta mereka antara tahun 2000 dan 2007, cuma 76 berakhir dengan pendakwaan, kata kumpulan hak asasi manusia Yesh Din.

Seramai 132 orang didakwa, dengan 110 daripadanya didapati bersalah melakukan pelbagai kesalahan, empat dibebaskan, lapan pendakwaan dimansuhkan dan perbicaraan 10 lagi masih dijalankan, menurut laporan.
"Perangkaan mengenai bilangan rendah siasatan dan bilangan fail pendakwaan mendedahkan tentera mengabaikan tugas mereka untuk melindungi penduduk awam Palestin daripada jenayah yang dilakukan anggotanya," kata penasihat undang-undang Yesh Din, Michael Sfadi, dalam satu kenyataan. Menurut perangkaan yang diberikan kepada Yesh Din oleh tentera, cuma segelintir siasatan menyusul aduan daripada anggota tentera.

Daripada 152 siasatan yang dilancarkan pada tahun 2006, cuma 14 atau sembilan peratus, berdasarkan aduan yang difailkan di kalangan tentera, menurut laporan. Pada tahun 2007, tujuh peratus siasatan berpunca daripada tentera.
"Bilangan minit pendakwaan dilancarkan berikutan laporan oleh komander kepada polis tentera mendedahkan konspirasi berdiam diri berhubungan jenayah ke atas penduduk Palestin," kata Sfadi. – AFP

0 ulasan:

:f :D :x B-) b-( :@ x( :? ;;) :-B :| :)) :(( =(( :s :-j :-p :-o :-g :-x
Catat Ulasan