Sabtu, Julai 19, 2008

JUMAAT

Atas permintaan seorang sahabat aku, aku ingin mem'publish'kan karya dia di blog ini. Dia mintak sesiapa sahaja yang membacanya memberi sedikit komen tentang cerpen pertama dia ni...



JUMAAT

Hembusan angin menyapa pipiku. Ketika aku duduk sendirian menikmati keindahan alam ciptaan Ilahi, fikiranku melayang memikirkan peristiwa-peristiwa yang lepas. Aku baru tersedar bahawa hari Jumaat cukup bermakna buat diriku. Pelbagai kenangan pahit dan manis telah berlaku pada hari Jumaat. Aku telah dilahirkan pada hari ini bersama-sama dengan kembarku, Mastura dan pada hari Jumaat jugalah aku telah berpisah dengannya. Mastura telah pergi meninggalkan aku buat selama-lamanya setelah dia terlibat dalam satu kemalangan. Kematian Mastura sangat aku kesali kerana kemalangan itu berpunca daripada diriku juga. Jika aku tidak mementingkan diri pasti Mastura ada bersama-sama denganku sehingga hari ini. Namun, nasi sudah menjadi bubur. Sudah terlambat untuk aku menyesal kerana semuanya telah berlaku. Tidak ada apa-apa yang dapat dilakukan lagi. Aku juga telah sedari bahawa pada hari Jumaat jugalah aku telah kehilangan Tok Wan. Tok Wan telah pulang kerahmatullah setelah menghidap penyakit kanser perut selama lima tahun. Kehilangan Tok Wan amat aku rasai kerana setelah kematian Mastura, aku telah tinggal bersama-sama dengan Tok Wan dan Opah. Merekalah yang sering berada di sampingku dan sering memberikan aku semangat untuk meneruskan semangat. Pada hari Jumaat jugalah aku telah kembali tinggal bersama-sama dengan ibu, ayah dan abang Luqman. Bukan aku tidak suka tinggal bersama-sama dengan keluargaku tetapi di rumah itu terlampau banyak kenangan silam aku bersama Mastura. Ibu telah banyak kali berusaha memujukku supaya tinggal bersama-sama ibu di rumah tetapi aku terpaksa mengatakan tidak. Hati aku tidak tenteram di rumah itu kerana setiap kali aku berada di rumah itu, aku seperti mendengar suara Mastura. Mahu tidak mahu, ibu terpaksa akur dengan kehendakku.

Aku kembali tinggal bersama dengan keluargaku setelah Opah jatuh sakit dan tiada sesiapa untuk menjaganya di kampung. Ibu kata aku tidak mampu untuk menjaga Opah sendirian kerana aku masih bersekolah. Tambah lagi tahun itu adalah tahun yang penting untuk aku. Tahun ini akan menentukan sama ada penat lelah aku di dalam pelajaran selama ini membuahkan hasil atau tidak. Setelah kematian Tok Wan, aku dapat melihat Opah berada dalam keadaan tidak terurus seolah-olah Opah sangat merindui Tok Wan. Saban hari aku melihat Opah duduk termenung sehingga tidak makan dan minum. Perilaku Opah ini telah membuatkan ibu mengambil keputusan untuk menjaga Opah di rumah. Pada mulanya Opah menolak perlawaan ibu tetapi setelah Opah diserang strok, mahu tidak mahu Opah terpaksa juga duduk dengan ibu. Pada hari pertama di rumah ibu, Opah telah dimasukkan ke hospital gara-gara Opah telah diserang demam panas. Pada waktu itu, semua adik-beradik ibu telah berkumpul di hospital kerana terkejut menerima berita itu. Aku teringat kata-kata Mak Uteh yang menyatakan bahawa ibu tidak tahu menjaga Opah.

“Kamu ni kan Hafsah, kalau dah tak tau nak jaga mak tu, buat la cara-cara tak pandai. Jangan nak tunjuk bagus pula. Kamu tengok apa dah jadi sekarang?” Mak Uteh berkata setibanya dia di hospital.

Saat itu, aku berasa sangat marah dengan Mak Uteh lalu aku berkata “ Mak Uteh. Tak kan Mak Uteh tak tahu perangai Opah macam mana? Puas dah Sarah ngan ibu pujuk Opah supaya pergi klinik. Kalau Mak Uteh rasa Mak Uteh tahu sangat nak jaga Opah, Mak Uteh jagalah Opah itu” aku mula membalas kata-kata Mak Uteh itu.

Selepas peristiwa itu, ibu telah mencarikan seseorang untuk menjaga Opah. Kak Cita hadir dalam keluargaku pada hari Jumaat juga. Pelik juga bila aku memikirkan kenapa semua perkara ini berlaku pada hari Jumaat. Bagi aku, hari Jumaat adalah hari yang mulia.

“Sarah, kalau Sarah hendakkan sesuatu, Sarah kenalah selalu berdoa kepada Allah. Tapi kalau Sarah selalu berdoa pada setiap hari terutamanya hari Jumaat, insyallah Allah akan makbulkan doa hambanya. Allah tidak penah menghampakan permintaan hambaNya sebab Allah sangat suka jika hambanya meminta kepadaNya.” kata Opah setiap kali aku selesai solat bersamanya.

Peringatan ini telah membuatkan aku supaya sentiasa berdoa kepada Allah memohon supaya Allah mengurniakan kepadaku seorang penganti yang mampu membuatkan hidup aku ceria semasa Mastura masih hidup. Aku tidak jemu berdoa kerana usaha adalah tangga kejayaan. Setelah sekian lama memohon kepada Allah, Allah telah menerima doaku ini. Allah telah “menghantar” Kak Cita untuk memenuhi kekosongan di dalam hidupku. Kak Cita telah membawa sinar di dalam jiwa ku. Kehadirannya telah aku sambut dengan penuh kerelaan sehingga aku menganggapnya sebagai kakak sendiri. Kak Cita telah berhijrah ke Malaysia untuk mencari nafkah untuk keluarganya. Kak Cita sanggup untuk meninggalkan tanah airnya, Indonesia semata-mata untuk membantu keluarganya yang berada di dalam kesusahan. Menurut Kak Cita, dia adalah anak sulung dan mempunyai 10 orang adik beradik. Ayah Kak Cita telah meninggal dunia manakala ibunya telah lumpuh akibat daripada penyakit keturunan yang dialami oleh ibunya. Kak Cita telah diupah oleh ibu untuk menjaga Opah ketika ibu pergi bekerja. Kak Cita telah melakukan kerjanya dengan baik sehingga ibu turut “jatuh hati” kepada Kak Cita. Kak Cita telah menjaga Opah dengan baik seolah-olah Opah adalah ibu kepada Kak Cita. Setiap hari, Kak Cita akan memandikan Opah, menukarkan pakaian Opah, memberi Opah makan, dan menemani Opah setiap masa.

Pada mulanya, Opah agak tidak senang dengan kehadiran Kak Cita. Setiap kali Kak Cita cuba untuk bersembang dengan Opah. Walaupun Opah tidak melayan Kak Cita, Kak Cita tidak berputus asa. Saban hari, Kak Cita akan berusaha untuk bersembang dengan Opah sehinggalah pada suatu hari,

“Cita! Kamu kelihatan cantik hari ini,” Opah berkata kepada Kak Cita tiba-tiba.
“Terima kasih diatas pujian itu nyonya. Nyonya pun kelihatan anggun pagi ini. Nyonya mahu apa-apa?” terukir senyuman di muka Kak Cita tatkala Opah mula bercakap dengannya.
************************************************************************
Hubungan Opah dengan Kak Cita bertambah erat. Begitu juga hubungan aku dengan Kak Cita seperti isi dengan kuku. Aku telah melayan Kak Cita seperti kakak sendiri sehingga aku merasakan bahawa Allah telah “menghantar” Kak Cita sebagai pengganti Mastura. Tingkahlaku Kak Cita agak sama dengan Mastura membuatkan aku sangat berasa selesa dengan Kak Cita. Senyuman Kak Cita begitu manis dan mampu membuatkan jejaka-jejaka cair dengannya. Menurut Kak Cita, sebelum dia datang ke Malaysia, sudah ada jejaka yang mahu melamarnya tetapi terpaksa ditolak lamaran itu kerana bagi Kak Cita, keluarga adalah lebih penting daripada berkahwin. Setiap kata-kata yang keluar daripada mulut Kak Cita telah membakar semangat aku untuk terus belajar dan mencapai cita-cita kerana jika ada seseorang yang sering memberikan semangat kepada kita, kita akan berusaha sehabis baik. Walaupun Kak Cita lahir dalam keluarga yang miskin, ini tidak menghalangnya untuk terus berusaha sehingga mencapai kejayaan. Menurut Kak Cita, dia teringin sangat untuk menjadi seorang doktor. Cita-cita Kak Cita ini telah mengingatkan aku kepada arwah Mastura yang sememangnya meminati kerjaya ini sejak dari kecil lagi. Kak Cita selalu berkata bahawa menjadi seorang doktor adalah mulia kerana tanpa doktor, manusia akan hidup menderita. Doktor juga mampu untuk menyelamatkan nyawa manusia yang berada di dalam keadaan bahaya tetapi dengan izin Allah sahaja.

Ketabahan yang ditunjukkan oleh Kak Cita telah menyedarkan aku dan abang Luqman. Ibu dan ayah juga kagum dengan Kak Cita kerana dia tidak penat melakukan kerja sehinggalah selesai semuanya. Kak Cita telah ku buat sebagai sahabat karibku. Kemana sahaja aku pergi, aku akan membawa Kak Cita sekali. Kadang-kadang, aku lebih selesa membeli-belah bersama dengan Kak Cita daripada ibu dan rakan-rakan yang lain. Kadang-kadang, citarasa Kak Cita adalah lebih baik daripada citarasa aku. Aku dapat melihat bahawa Kak Cita pandai bersolek. Setiap kali aku membeli pakaian baru, Kak Cita akan cuba membantu aku untuk menyesuaikan pakaian itu dengan tudung yang sesuai. Tindakan Kak Cita ini membuatkan aku terfikir bahawa Kak Cita boleh menjadi seorang pereka fesyen yang berjaya jika dia diberikan peluang. Tetapi, tidak semua manusia mendapat peluang yang baik melainkan dengan izin Allah.
************************************************************************
Setelah tiga tahun menjaga Opah, Opah telah meninggal dunia. Opah telah pulang ke rahmatullah setelah Opah jatuh di dalam bilik air. Pada masa itu, Kak Cita sedang sibuk menyediakan makanan untuk Opah sehingga dia tidak sedar yang Opah telah pergi ke bilik air bersendirian. Kak Cita berasa sangat bersalah di atas kematian Opah sehingga dia berkata dia sanggup untuk menjadi hamba abdi untuk keluarga aku. Betapa mulianya hati Kak Cita ini. Walaupun dia kelihatan lembut di luar, namun, secara dalamannya, dia begitu kuat. Dia mampu untuk menghadapi cabaran yang ada dihadapan dengan hati yang terbuka.

“Sarah, Kak Cita rasa sudah sampai masanya Kak Cita pulang ke Indonesia. Sudah lama rasanya tidak temui sama keluarga. Kak Cita sangat rindu sama mereka. Kak Cita mahu pulang,” luahan hati Kak Cita setelah seminggu kematian Opah.

“Kak Cita, kalau Kak Cita pulang nanti, siapa lagi yang akan temani Sarah “shopping”? Siapa lagi yang akan berkongsi cerita dengan Sarah? Siapakah?” aku membalas kata-kata Kak Cita dengan persoalan demi persoalan.

Sungguh berasa hatiku apabila Kak Cita memberitahu dia mahu pulang ke rumahnya. Perasaan manusia siapa yang mampu menghalang. Setiap manusia pasti mempunyai rasa rindu terhadap orang tersayang di dalam hati mereka. Aku tidak mampu menolak permintaan Kak Cita kerana jauh dalam hatinya, dia tidak sabar lagi untuk berjumpa dengan emak dan adik beradiknya. Kasih sayang seorang anak dan kakak adalah suci. Tiada tandingannya jika dibandingkan dengan emas dan permata. Ibu, ayah dan abang Luqman juga keberatan untuk melepaskan Kak Cita. Tetapi, apakan daya mereka. Sesuatu yang baik tidak elok untuk dihalang. Segala persiapan untuk Kak Cita pulang ke Indonesia telah diuruskan oleh ibu. Kepulangan Kak Cita ke tanah air tercinta telah aku susuli dengan air mata. Saat aku melihat Kak Cita hilang dari pandangan, aku merasakan diriku sangat lemah sehingga aku jatuh menyembah lantai. Sungguh tidak aku duga betapa sayangnya aku kepada Kak Cita. Dan, Kak Cita telah pulang ke tanah air pada hari Jumaat juga. Lihatlah betapa bermaknanya hari Jumaat di dalam hidupku. Aku mula kehilangan insan tersayang seorang demi seorang pada hari Jumaat. Tetapi, kurang dari seminggu lagi, iaitu pada hari Jumaat nanti, sekali lagi sejarah manis akan tercatat di dalam diari hidup. Pada hari Jumaat nanti, aku akan memulakan perkhidmatan aku sebagai doktor di Hospital Besar Ipoh. Selepas enam tahun aku terpisah dengan Kak Cita, aku mula berjinak-jinak dengan dalam bidang perubatan kerana untuk membantu Kak Cita dan Mastura yang bercita-cita untuk menjadi doktor. Dan aku tidak sabar untuk menunggu hari Jumaat yang bakal tiba.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

hahaaha sangat menarik cite tu
hahaha sangat membuatkan org rasa semangat nak baca hahaha

ceria seindah suria berkata...

nice cerpen...
truskan berkarya wahai tuan punye cerpen...

Tanpa Nama berkata...

kepada penulis tuuu
teruskan usaha anda
hahahaa
semoga berjaya

Tanpa Nama berkata...

cerpen yang bagus... cuma ada sesetengah ayat yang terlalu skema dan nampak tak logik untuk dituturkan... anyway, hebat!

:f :D :x B-) b-( :@ x( :? ;;) :-B :| :)) :(( =(( :s :-j :-p :-o :-g :-x
Catat Ulasan